Skip links
Ilustrasi oleh Asyiqin M. Zin

Keganasan Dalam Talian Berasaskan Gender: Sebuah Pengenalan

Ilustrasi oleh Asyiqin M. Zin

Ilustrasi oleh Asyiqin M. Zin

Ditulis Oleh: Alia Ali
Diedit oleh: KRYSS Network & Nurhuda Ramli

Mutakhir ini, isu keganasan dalam talian berasaskan gender semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat. Kesedaran ini berlaku kerana ledakan informasi dan pengetahuan dengan adanya talian internet dan kemajuan teknologi. Namun, apa yang malang adalah semakin hari, kes-kes keganasan dalam talian semakin meningkat dan kebanyakannya berlaku di laman media sosial dan perisian sembang peribadi seperti WhatsApp, Telegram, Facebook Messenger dan lain-lain. Pasti ramai pengguna internet terutamanya laman media sosial pernah melihat insiden keganasan dalam talian berasaskan gender atau ada yang pernah mengalaminya sendiri terutamanya kaum wanita.

Perkara keji ini tidak hanya dilakukan oleh seorang dua orang sahaja kerana keganasan dalam talian berasaskan gender adalah bentuk keganasan berasaskan gender dan ia berpunca daripada ketidaksaksamaan gender akibat daripada nilai patriarki dan misogini yang mendarah daging dalam masyarakat kita. Melihatkan trend yang semakin menular ini seiring dengan teknologi yang semakin canggih, kita boleh katakan internet dan platform-platformnya adalah ruang yang mudah buat ramai orang untuk melakukan keganasan terhadap wanita dan internet menyebabkan keganasan berasaskan gender lebih mudah tersebar dan mendapat capaian yang lebih luas melangkaui sempadan negara dan benua. Sebab itu, keganasan dalam talian berasaskan gender wajar diberikan perhatian serius sebagaimana keganasan berasaskan gender yang lain.

Apakah Keganasan Dalam Talian Berasaskan Gender?

Keganasan dalam talian berasaskan gender atau ‘online gender-based violence´ ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai ‘sebarang keganasan berasaskan gender terhadap wanita yang dilakukan, dibantu, atau diburukkan lagi dengan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communications Technology, atau ICT) terhadap seseorang wanita disebabkan dia ialah seorang wanita, atau keganasan yang memberi kesan yang jauh lebih besar ke atas wanita.[1]

Keganasan dalam talian berasaskan gender boleh berlaku pada wanita dan juga lelaki. Namun begitu, wanita lebih kerap menjadi mangsa keganasan dalam talian berasaskan gender berbanding lelaki, dan sering kali lebih teruk. Wanita menerima keganasan yang jauh lebih peribadi dan menjadi-jadi, seperti gangguan seksual, ugutan rogol dan bunuh. Perbezaan bentuk keganasan dalam talian yang dialami oleh kedua-dua gender ini harus disedari supaya jalan penyelesaian yang sesuai dapat dikenal pasti berdasarkan keperluan setiap kes.

Ada pelbagai jenis dan bentuk keganasan dalam talian berasaskan gender, antaranya ialah doxxing (pendedahan maklumat peribadi), gangguan seksual, ucapan kebencian dan keganasan, serangan beramai-ramai, penyebaran gambar intim tanpa izin (non-consensual dissemination of intimate images), pengawasan (memerhati dan menghendap aktiviti dalam talian atau hidup sebenar seseorang wanita melalui GPS dan/atau perisian intip), memeras ugut secara seksual dan lain-lain lagi. Penjenayah juga mengganggu keluarga dan/atau rakan wanita yang menjadi tumpuan serangannya.

Mungkin ramai yang menyangka bahawa isu seperti keganasan dalam talian berasaskan gender hanya berlaku di negara-negara barat. Malangnya, jika mereka meluangkan masa dan hanya menjenguk sebentar ke laman media sosial seperti Facebook dan X (dahulunya dikenali sebagai ‘Twitter’), mereka akan dapat melihat betapa teruknya situasi ini di negara Malaysia yang kita cintai.

Antara kes-kes yang dilaporkan oleh media:

  • Nama Ain Husniza ialah nama yang tidak asing sejak beberapa bulan lalu dan telah menjadi bualan mulut ramai orang. Berita mengenai beliau tular pada bulan April 2021 kerana pelajar ini bersuara tentang lawak rogol yang dilakukan oleh gurunya, dan beliau telah menyuarakannya di TikTok. Berikutan itu, ramai wanita dan pelajar perempuan turut bersuara tentang gangguan seksual yang mereka terima di sekolah. Hampir semua gangguan tersebut dilakukan oleh guru dan pelajar lelaki. Walaupun bukti semakin menimbun dan semakin ramai yang berkongsi cerita dan pengalaman, ramai juga yang cuba merosakkan kebolehpercayaan kata-kata Ain. Ramai guru dan pelajar menuduh Ain terlalu beremosi dan ingin menarik perhatian. Lebih malang lagi adalah apabila Timbalan Ketua Polis (yang kini telah dilantik menjadi Ketua Polis) mengatakan bahawa ugutan rogol yang diterima oleh Ain “mungkin gurauan oleh rakan sedarjahnya yang dia tidak dapat terima”. Ini mengubah fokus kes dari ugutan rogol kepada menyalahkan mangsa.
  • Pada bulan Januari 2017, sebuah laman Facebook bertajuk ‘Thaipusam Spraying Group’ mengugut bahawa mereka akan menyembur cat ke atas wanita yang mereka anggap ‘tidak berpakaian sopan’ semasa perayaan Thaipusam tahun itu. Penganiayaan dalam talian tersebut berpunca daripada sikap dan budaya pengawasan dan pengawalan kepada badan dan seksualiti wanita. Walaupun pemilik laman Facebook tersebut ditahan dua hari sebelum Thaipusam tahun itu, tidak pula diketahui sama ada beliau disabitkan sebarang kesalahan dan orang yang terlibat dalam laman Facebook itu juga disiasat.
  • Pada tahun 2020, beberapa ahli sebuah saluran Telegram dipanggil ‘V2K’ didapati telah berkongsi gambar dan video wanita dan kanak-kanak tanpa kebenaran. Hampir 40,000 orang ahli saluran ini adalah lelaki, termasuk pelajar sekolah dan ahli perniagaan. Ahli-ahli V2K digalakkan untuk menjatuhkan maruah wanita, dansaling bertukar-tukar dan berkongsi maklumat peribadi wanita tanpa kebenaran, seperti nombor telefon, profil media sosial, dan juga alamat rumah. V2K bukanlah satu-satunya saluran yang sebegini. Terdapat beratus ribu lagi saluran Telegram lain yang turut berkongsi gambar dan maklumat peribadi wanita dan kanak-kanak. Semasa pandemik bilangan saluran seperti ini menunjukkan peningkatan ketara, dan membuktikan bahawa pandemik meningkatkan tahap kerentanan wanita terhadap dan kanak-kanak terhadap keganasan berasaskan gender dalam talian.

Tiga kes yang disebutkan di atas adalah contoh bagaimana keganasan dalam talian berasaskan gender dilakukan terhadap wanita. Ini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada fenomena keganasan berasaskan dalam talian berasaskan gender di Malaysia. Amat malang sekali dalam keadaan kita sudah mencapai kemajuan teknologi komunikasi yang pesat, kesedaran masyarakat tentang hak wanita untuk selamat daripada sebarang ancaman dan perlakuan keganasan amatlah kurang sehingga membenarkan perkara-perkara ini berlaku dan mengancam keselamatan dan kesejahteraan hidup mereka. Lebih menambahkan ancaman dan tingkat kebahayaan keganasan jenis ini adalah keterbukaan ruang siber yang membenarkan penyertaan ramai orang dalam perlakuan keganasan.

Justeru, amatlah penting pencerahan tentang isu keganasan dalam talian berasaskan gender dan penerangan tentang hak keselamatan wanita dilakukan secara berterusan kepada masyarakat agar mereka sedar tentangnya dan dapat menyumbang kepada pengawalan kepada isu ini. Semua orang berhak merasa selamat dalam semua ruang awam dan persendirian termasuklah ruang siber, tidak ada sebarang alasan yang boleh diberikan untuk menghalalkan apa sahaja tindakan yang mengancam keselamatan siapa pun tanpa mengira gender dan peringkat umur. Seharusnya, isu keselamatan terhadap wanita mesti menjadi prioriti kita selain daripada perlakuan keganasan dalam talian yang lain kerana jelas, kumpulan wanita lebih rentan terhadap keganasan dalam talian.

Apakah kesan daripada isu ini? Baca artikel kami, “Kesan-Kesan Keganasan Dalam Talian Berasaskan Gender ” untuk ketahui lebih lanjut.

________________________

[1] United Nations Human Rights Council. (2018). Report of the Special Rapporteur on Violence against Women, Its Causes and Consequences on online violence against women and girls from a human rights perspective. https://digitallibrary.un.org/record/1641160?ln=en

This website uses cookies to improve your web experience.
Home
Search