Skip links

Kesan-Kesan Keganasan Dalam Talian Berasaskan Gender

Ilustrasi oleh Asyiqin M. Zin

Ditulis Oleh: Alia Ali
Diedit oleh: KRYSS Network & Nurhuda Ramli

Keganasan berasaskan gender yang berlaku di dalam talian sering diremehkan kerana dianggap tidak mempunyai apa-apa impak terhadap mangsa. Namun, hakikatnya ia amat tidak benar kerana semua bentuk keganasan boleh memberi kesan yang negatif terhadap mangsa dari segi fizikal, emosi dan mental. Sangkaan bahawa keganasan dalam talian berasaskan gender tidak memberi impak menyebabkan bantuan tidak dapat diusahakan dengan lebih serius buat mangsa dan langkah-langkah menanganinya dianggap tidak perlu, walhal ada keterdesakan untuk menangani masalah ini dan memastikan platform internet adalah ruang selamat buat semua terutamanya wanita dan kanak-kanak perempuan.

Apakah keganasan dalam talian berasaskan gender? Baca artikel kami, “Keganasan Dalam Talian Berasaskan Gender: Sebuah Pengenalan ” untuk ketahui lebih lanjut.

Kajian dan dokumentasi KRYSS Network mendapati bahawa keganasan dalam talian berasaskan gender memudaratkan hak wanita dan kanak-kanak perempuan dalam beberapa cara, termasuk:

Kemudaratan psikologi

Berlawanan dengan persepsi bahawa mudarat keganasan berasaskan gender dalam talian hanya wujud dalam alam maya, keganasan ini sebenarnya memberi kesan negatif kepada kesejahteraan tubuh dan keselamatan mangsa. Kehadiran rangkaian digital di mana-mana bermakna penyerang boleh berada di mana-mana dan boleh jadi sesiapa sahaja. Ini menyebabkan fikiran mangsa menjadi kacau dan sentiasa gelisah kerana ada kemungkinan untuk diserang dan diperlakukan dengan tidak baik boleh berlaku di mana-mana sahaja dan mangsa merasa amat tidak selamat dalam persekitaran sekelilingnya.

Akibatnya, mangsa akan berada dalam kesukaran melampau yang hanya dia sahaja yang merasakannya tetapi malangnya tidak dapat dilihat oleh orang lain. Keadaan ini menggugat kesihatan mental dan sekiranya tidak dibantu dengan segera, ia boleh membawa kepada risiko bunuh diri seperti kes R. Thivya Nayag. Beliau mengambil nyawanya sendiri akibat kemurungan selepas mengalami keganasan dalam talian yang disasarkan kepadanya bertubi-tubi setelah tularnya sebuah video Tik Tok yang memaparkan hubungannya dengan seseorang daripada luar komuniti etniknya. [1]

Hilang tumpuan bekerja

Mangsa tidak berupaya untuk memberi tumpuan di tempat kerja dan hadir ke tempat kerja. Mereka tidak dapat melakukan kerja mereka dengan baik, lalu produktiviti mereka berkurangan. Akibatnya, mereka tidak akan dapat memajukan diri mereka di tempat kerja kerana mereka kehilangan peluang pembangunan karier, dan mungkin juga kehilangan faedah dan/atau kenaikan pangkat. Kita juga tidak boleh memandang enteng hubungan mangsa dengan ketua dan rakan-rakan sekerja mereka yang terkesan daripada produktiviti kerja mangsa yang menurun. Ini menambahkan lagi tekanan kepada mangsa dan boleh merudumkan lagi prestasi kerja mangsa;

Hilang tumpuan belajar

Mangsa yang masih belajar boleh menjadi tidak berupaya untuk memberi tumpuan dalam pelajaran. Kehadiran mereka di sekolah dan tempat pengajian boleh terganggu, seperti ponteng dan cuti yang kerap kerana sakit. Perkara ini menjadikan mereka ketinggalan dalam pelajaran. Ketidakhadiran dan kehilangan tumpuan dalam pelajaran akan membantutkan perkembangan potensi pelajar. Selain itu, sistem pendidikan Malaysia yang banyak bergantung kepada ujian dan peperiksaan dalam penilaian pelajar menyukarkan keadaan buat pelajar-pelajar ini kerana ketertinggalan mereka dalam pelajaran akan memberi kesan kepada prestasi mereka dalam penilaian dan peperiksaan, dan seterusnya akan menurunkan lagi peluang mereka untuk maju dalam pelajaran;

Pengasingan sosial

Pengasingan sosial berlaku di mana mangsa menarik diri daripada pergaulan mereka dengan manusia di sekeliling mereka dalam kehidupan mereka yang biasa.  Contohnya, kehidupan bersama keluarga dan rakan-rakan. Apabila gambar dan video mangsa disebarkan di ruang awam tanpa kebenaran mereka, mereka akan merasa  teramat malu atau takut mereka akan dikenali oleh orang lain. Mereka takut mereka akan dicemuh ataupun diserang di tempat awam ataupun oleh rakan-rakan dan ahli keluarga mereka sendiri. Manusia yang merupakan satu makhluk yang sangat bergantung kepada interaksi sosial untuk menjalani kehidupan dengan normal dan baik, akan semestinya terkesan daripada pengasingan sosial ini. Kemurungan, tekanan perasaan dan kesunyian adalah impak pengasingan sosial yang kita tidak boleh pandang enteng, kerana ia menjejaskan kesejahteraan hidup manusia.

Tapisan kendiri berlebihan

Banyak kali terjadi mangsa akan menapis penggunaan peranti dan teknologi digital kerana merasa gentar dan takut terhadap apa yang mungkin berlaku kepada diri mereka apabila menggunakan peranti dan teknologi digital. Penarikan diri mangsa daripada menggunakan  menggunakan internet dan peranti digital, aksesnya kepada maklumat, servis dalam talian, dan komunikasi sosial atau profesional akan terganggu. Hak sivil mangsa kepada servis, maklumat dan pengetahuan secara tidak langsung akan merosot kerana mangsa merasa tidak selamat untuk menggunakan internet dan peranti digital.

Berdasarkan kesan dan akibat di atas, keganasan berasaskan gender dalam talian tidak hanya mempunyai impak di alam maya, tetapi juga dalam kehidupan seharian. Ramai yang berpendapat bahawa bahawa mangsa keganasan dalam talian berasaskan gender hanya perlu membatalkan atau menyahaktifkan akaun mereka. Namun, ini bukanlah satu penyelesaian yang praktikal kerana internet adalah diperlukan untuk mengendalikan cara hidup zaman sekarang, baik untuk bekerja, bersosial mahupun melakukan urusan hidup seharian seperti membayar bil. Apa yang penting adalah mengekang dan mengawal jenayah keganasan dalam talian bagi memastikan internet menjadi ruang yang selamat buat semua orang terutamanya wanita dan kanak-kanak. Justeru, keselamatan di ruang internet sepatutnya menjadi keutamaan kita semua untuk memastikan ia selamat buat semua orang terutamanya wanita dan kanak-kanak, kerana internet adalah hak asasi semua.

________________________

[1] Basyir, Mohamed dan Perimbanayagam, Kalbana. 2020. “Cyberbullying victim found dead after viral Tik Tok video”. Diakses pada 31 Julai 2020. https://www.nst.com.my/news/nation/2020/05/594223/cyberbullying-victim-found-dead-afterviral-tik-tok-video

This website uses cookies to improve your web experience.
Home
Search